Ampang: Berselindung di sebalik kedai makan
dan pusat Internet antara modus operandi digunakan sindiket perjudian
yang dilaporkan berleluasa sekitar daerah ini sejak lebih enam bulan
lalu.
Sindiket perjudian ini dilaporkan bukan sekadar menyasarkan warga
asing seperti Indonesia sebaliknya warga tempatan. Lebih menyedihkan,
mereka turut membenarkan remaja berusia belasan tahun memasuki premis
terbabit untuk bertaruh nasib.
Harian Metro yang mendapat
aduan orang ramai yang mendakwa wujud beberapa kawasan di daerah ini
seperti Pandan Indah, Pandan Jaya dan Jalan Mamanda, di sini, melakukan
aktiviti perjudian Internet dengan meluas segera menyiasat ke lokasi
dikatakan bagi melakukan tinjauan selain mendapatkan kesahihan.
Tinjauan wartawan mendapati dakwaan berkenaan benar, malah beberapa
premis di kawasan itu menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi mata
masyarakat termasuk berselindung di sebalik kafe ataupun restoran dan
kedai Internet.
Seorang peguam yang mahu dikenali sebagai
Ahmad, 42, berkata, sindiket perjudian melakukan perniagaan haram mereka
seolah-oleh kebal daripada tindakan undang-undang.
“Mana
tidaknya, remaja belasan tahun juga dibenarkan masuk untuk bertaruh.
Perbuatan mereka ini merosakkan anak bangsa yang masih mentah dan tidak
tahu menahu mengenai keburukan dan natijahnya akibat berjudi.
KAFE siber yang dipercayai menjalankan judi Internet.
“Saya harap pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM)
atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memandang mudah perkara ini,”
katanya.
Adzlan Abu, 28, yang bekerja sebagai seorang guru
ketika ditemui berkata, dia hairan bagaimana premis seumpama itu boleh
beroperasi dengan bebas.
“Malah, ada premis yang pernah diserbu, namun kembali beroperasi
kurang 24 jam selepas serbuan. Bukankah ini menjadi persoalan besar
kepada masyarakat,” katanya.
“Sepatutnya, premis sama
ataupun yang sudah diserbu perlu disita dan ditutup sepenuhnya. PBT
seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sepatutnya terus
menggantung lesen pemilik pusat perjudian itu,” katanya menuntut MPAJ
supaya lebih peka dengan kesan berleluasanya aktiviti perjudian.
Ketika tinjauan dilakukan, wartawan yang berkesempatan memasuki satu
daripada empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian itu mendapati
pelbagai jenis judi berkomputer berasaskan Internet seperti ‘Jackport’,
‘mesin judi monyet’, ‘roullete’ dan sebagainya disediakan di premis
berkenaan bagi memenuhi ‘selera’ kaki judi.
Kebanyakan
premis turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan
mereka memantau individu yang datang terutamanya pihak berkuasa.
Malah, ada premis yang hanya membenarkan pelanggan tetap ataupun
mereka yang mempunyai kata laluan tertentu untuk masuk ke premis
berkenaan.
Selepas memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, Harian Metro kemudian memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd
Zinin dalam ruangan kolumnya Sabtu lalu turut membincangkan isu
berkaitan perjudian.
Beliau berkata, PDRM tidak pernah
memandang ringan dan sentiasa prihatin terhadap aktiviti perjudian yang
wujud di kawasan kediaman mahupun pusat membeli-belah apatah lagi
membabitkan remaja.