Ampang: Berselindung di sebalik kedai makan
dan pusat Internet antara modus operandi digunakan sindiket perjudian
yang dilaporkan berleluasa sekitar daerah ini sejak lebih enam bulan
lalu.
Sindiket perjudian ini dilaporkan bukan sekadar menyasarkan warga
asing seperti Indonesia sebaliknya warga tempatan. Lebih menyedihkan,
mereka turut membenarkan remaja berusia belasan tahun memasuki premis
terbabit untuk bertaruh nasib.Harian Metro yang mendapat aduan orang ramai yang mendakwa wujud beberapa kawasan di daerah ini seperti Pandan Indah, Pandan Jaya dan Jalan Mamanda, di sini, melakukan aktiviti perjudian Internet dengan meluas segera menyiasat ke lokasi dikatakan bagi melakukan tinjauan selain mendapatkan kesahihan.
Seorang peguam yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 42, berkata, sindiket perjudian melakukan perniagaan haram mereka seolah-oleh kebal daripada tindakan undang-undang.
“Mana tidaknya, remaja belasan tahun juga dibenarkan masuk untuk bertaruh. Perbuatan mereka ini merosakkan anak bangsa yang masih mentah dan tidak tahu menahu mengenai keburukan dan natijahnya akibat berjudi.
KAFE siber yang dipercayai menjalankan judi Internet.
“Saya harap pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM)
atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memandang mudah perkara ini,”
katanya.Adzlan Abu, 28, yang bekerja sebagai seorang guru ketika ditemui berkata, dia hairan bagaimana premis seumpama itu boleh beroperasi dengan bebas.
“Malah, ada premis yang pernah diserbu, namun kembali beroperasi kurang 24 jam selepas serbuan. Bukankah ini menjadi persoalan besar kepada masyarakat,” katanya.
“Sepatutnya, premis sama ataupun yang sudah diserbu perlu disita dan ditutup sepenuhnya. PBT seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sepatutnya terus menggantung lesen pemilik pusat perjudian itu,” katanya menuntut MPAJ supaya lebih peka dengan kesan berleluasanya aktiviti perjudian.
Ketika tinjauan dilakukan, wartawan yang berkesempatan memasuki satu daripada empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian itu mendapati pelbagai jenis judi berkomputer berasaskan Internet seperti ‘Jackport’, ‘mesin judi monyet’, ‘roullete’ dan sebagainya disediakan di premis berkenaan bagi memenuhi ‘selera’ kaki judi.
Kebanyakan premis turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan mereka memantau individu yang datang terutamanya pihak berkuasa.
Malah, ada premis yang hanya membenarkan pelanggan tetap ataupun mereka yang mempunyai kata laluan tertentu untuk masuk ke premis berkenaan.
Selepas memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, Harian Metro kemudian memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam ruangan kolumnya Sabtu lalu turut membincangkan isu berkaitan perjudian.
Beliau berkata, PDRM tidak pernah memandang ringan dan sentiasa prihatin terhadap aktiviti perjudian yang wujud di kawasan kediaman mahupun pusat membeli-belah apatah lagi membabitkan remaja.

No comments:
Post a Comment